Sunday, January 26, 2014

Usman Awang Dalam Kenangan

Usman Awang atau lebih dikenali sebagai Tongkat Warrant merupakan salah satu tokoh sasterawan negara unggul yang amat ku kagumi sejak dari bangku sekolah lagi. Antaranya termasuklah 'Bunga Popi','Pak Utih' dan 'Gadis Di Kuburan' yang sering kali dideklamasikan oleh pelajar sekolah ketika itu. Karya - karya beliau sering kali berkait rapat dengan kisah golongan bawahan dan puisi yang berunsurkan tradisional masyarakat Melayu. Walaupun pemergian beliau mengjangkau hampir 14 tahun, namun karyanya tetap menjadi buah mulut dan sumber inspirasi bagi golongan pencinta seni.

Oleh kerana Usman Awang dibesarkan didalam sebuah keluarga nelayan miskin, namun kejayaan yang digondol adalah hasil daripada usaha beliau yang begitu dalam menjiwai kehidupan golongan miskin. Antara anugerah yang diterima hasil daripada karya beliau termasuklah S.E.A. Write Awards, anugerah Penulis Terkenal (Veteran) dan Ijazah Doktor Kehormat yang dianugerahkan oleh Universiti Malaya. Beliau juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina.  

Ketokohan dan pergaulan Usman Awang yang begitu disenangi amat disanjung oleh masyarakat tidak kira kaum dan agama. Perwatakan beliau yang lemah lembut dan mesra, simpatinya pada golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang menyebabkan beliau kadang kala digelar sebagai seorang seniman yang berjiwa rakyat dan berfahaman sosialis. Sayangnya pada kaum Melayu jelas terpancar pada isi kandungan puisi-puisinya. Antara puisi yang sering kali dikaitkan termasuklah 'Melayu':


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan.

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan.

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.

No comments: